Dengan mendekatkan kedua tangannya ke luka yang membuak dengan darah itu, sekonyong-konyong sebuah cahaya yang menyilaukan keluar dari tangannya dan serta-merta kulit itu kembali teguh seperti sediakala. Si mangsa yang hampir menghembus nafas terakhir kini bangkit seperti tak pernah merasa sebarang kesakitan. Alangkah berterima kasihnya yang sudah sembuh kepada yang ‘menyembuhkan’. Saktinya tangan itu, hebatnya kuasa itu. Bak sang malaikat atau ‘superhero’lah layaknya (merujuk kepada trend filem dan cereka).
Thomas Jefferson pernah berkata, “Seni kehidupan adalah seni menghindari kesakitan”, kerana manusia paling takut dengan sakit. Buktinya, Azab Allah saja adalah memberi sakit yang tak terhingga, bermula dari sakit fizikal yang mampu dirasa oleh tubuh, sakit mental yang bisa membuat insan hilang kewarasan dan sakit spiritual kerana tak punya apa-apa sebagai pengharapan. Allah tahu itulah yang paling menyiksakan: SAKIT.
Umumnya sakit itu ada baiknya, tapi dalam dos yang memadai. Sakit terkena kuali panas sangat penting agar kita menarik tangan dari terus melecur, sakit dari imunisasi penting untuk membentuk sistem pertahanan tubuh, dan sakit dari berjuang dan bersabar akan menciptakan diri kita yang lebih teguh menghadapi cabaran. Namun bila sakit itu mula mengganggu keseimbangan hidup, kita mula mengesak untuk bantuan.
Siapa saja yang dapat membuktikan mereka punya ‘kuasa’ untuk menghilangkan kesakitan akan disanjung dan dikagumi, maka tak hairan kini kerjaya seorang doktor tampak sangat mulia dan gah di pandangan umum kerana kemampuannya ‘menyembuhkan’ manusia dari kesakitan. Tak dapat jadi doktor, tukang urut pun jadilah, begitu pemikiran mereka yang mengejar status 'penyembuh' itu. Sebagai seorang bakal doktor (insyaAllah), saya melihat fungsi utama saya adalah membantu menyembuhkan mereka yang sakit (dengan izin Allah).
Namun pandangan saya kini berubah setelah melalui bahagian Ilmu Kesehatan Masyarakat(IKM) atau lebih dikenali sebagai “Public Health”. IKM menekankan tentang kesihatan setiap individu secara holistic (menyeluruh) tanpa sekadar melihat kepada gangguan dan penyakit yang dialaminya. Masyarakat umum berpendapat bila sakit, jumpalah doktor. Sesuai sangatlah bila pesakit datang, yang ditanyakan adalah: Apa yang sakit? Namun IKM lebih menumpukan kepada babak awal dari senario sakit ini, iaitu sewaktu tidak sakit.
Bukan mencari sakit, tapi menghalang munculnya sakit.
Ya, memang tak semua penyakit boleh dicegah, apa lagi yang bersifat herediter (diwarisi) atau kongenital, namun perkembangan mengagumkan dari strain-strain terbaru virus dan peningkatan resistensi bakteria yang seakan tak mahu kalah dengan pertumbuhan pesat model-model baru telefon bimbit, menandakan ada sesuatu yang salah dengan penanganan penyakit-penyakit infeksi sebelum ini. Penyakit kongenital sendiri banyak yang dipercayai mempunyai hubungan erat dengan gaya hidup dan status infeksi induk yang membuahi anak sehingga lahirnya membawa gen yang tidak sihat.
Selain penyebab infeksi, penyakit-penyakit akibat gaya hidup juga menyebabkan kasus kematian yang tinggi di seluruh dunia sehingga kita semakin bimbang dengan seiring berjalannya waktu. Seakan-akan dunia tidak lagi selamat untuk diduduki, dan semakin terpapar manusia dengan dunia, semakin banyak penyakit yang akan dihadapi, dan kita hanya mampu bergantung kepada sistem imun tubuh yang turut ditekan sejalan meningkatnya usia.
Survey tentang penyakit di seluruh dunia memperlihatkan penyakit infeksi yang dulunya lebih mendominasi kini dilangkaui oleh penyakit non-infeksi atau degeneratif seperti serangan jantung, kencing manis dan tekanan darah tinggi. Status sosial dan ekonomi yang semakin meningkat merupakan faktor yang menyumbang kepada menurunnya angka kejadian penyakit seperti TBC(batuk kering), AIDS dan diarrhea(cirit-birit), namun penurunan ini terlalu jauh dibandingkan dengan peningkatan insiden penyakit-penyakit ‘orang kaya’.
Semakin mampu seseorang individu secara ekonomi, perilaku gaya hidupnya turut berubah dengan menu makanan yang lebih enak dan istirehat serta dorman yang lebih dominan walaupun tingkat pengetahuan dijangkakan dapat mempengaruhi kesihatan individu secara positif. Apa lagi pada zaman yang serba segera dan banjir teknologi, penyakit-penyakit baru mula tumbuh dan penyakit-penyakit yang sedia ada mula bermutasi. Penyakit kanser semakin berkembang hampir di setiap organ manusia, yang mana pengubatannya menjadi semakin sophisticated dan complicated. Mula wujud penyakit seperti “Computer Stress Injury” dan “Blackberry Thumb”; sekarang, anda masih cemburu dengan mereka yang bergaya dengan Blackberry?
Bukan mencari superhero klise seperti yang dicanang di TV dan komik
Apa usaha seorang ‘superhero’ bergelar doktor dengan musuh-musuh semakin ramai, ganas, dan dilengkapi teknologi canggih? Apakah yang ‘baik’ akan terus menang bila yang jahat terus-terus menyerang dan yang ‘baik’ tidak cuba berkembang?
Di dunia ideal, superhero tak diperlukan kerana musuh tak pernah ada, dan kalau adapun, sangat sedikit untuk memberi ancaman. Ini kerana masyarakat atau society sedar bahawa mereka perlu menghalang munculnya penjahat-penjahat ini agar tak mengganggu hidup mereka. Mereka jelas dan yakin akan kepentingan ini, dan mereka tahu caranya. Ya, menurut saya ‘superpower’ sebenar adalah kemampuan membentuk masyarakat seperti ini. Ideal. Sekarang saya mula berfikir: idealistik itu bagus tapi ia tak realistik. Jadi untuk jadi realistik kita tak boleh optimistik? Sila berfikir bersama saya.
Sama ada anda sebagai doktor atau masyarakat, artikel ini untuk anda fikir-fikirkan. Bukan hanya mahu anda setuju atau bangkang, tapi untuk bertindak dan memainkan peranan.
Dunia memerlukan ‘superhero’!
-IMAN NAILAH 2009-