Friday, October 29, 2010

Politik Anak Kecil

Saya pernah sebal dengan sikap penuh emosi rakyat Indonesia dan saya balas juga dengan emosi bila mereka merusuh dan lantang bersuara. Ini terjadi salah satunya kerana saya lahir di Malaysia, sebuah negara yang bangga dengan kemajuan dan tingkat ekonomi yang dicapainya. Bertabirkan kemewahan yang tak seberapa ini, Malaysia beranggapan kadar intelektual dan sosial rakyatnya juga berjalan seiring.

Apa yang saya rasakan ini adalah AKIBAT dari doktrin yang meresap dalam diri kebanyakan rakyat Malaysia yang malas berfikir. Saya melihat hanya di permukaan dan mengiyakan pernyataan kerajaan tanpa analisis mendalam. Ini tidak bermaksud saya menyokong kerajaan tetapi saya sempat merasa kedudukan mereka tegar dengan usaha dan sifat yang dewasa. Saya sempat merasa tenang.

Apa yang terjadi adalah terlalu lama dan terlalu selesa. Semuanya, kerajaan dan rakyatnya. Kita tidak pernah mau berubah kerana kita takut mengalami sesuatu yang kurang selesa. Kita takbur.

Indonesia pula mengalami situasi yang terbalik dengan Malaysia di mana ekonomi dan status sosialnya terumbang-ambing dan tidak stabil, namun politik Indonesia sangat matang. Jelas, status kelemahannya yang menyumbang kepada faktor kekuatan Indonesia.

Mereka sentiasa terbuka kepada perubahan, sentiasa terbuka kepada teguran, menghormati pihak lawan, dan sedar perjuangan mereka adalah demi kesejahteraan nasional, bukan kepentingan diri. Walaupun tidak dinafikan pasti unsur kemewahan tetap mempengaruhi dalam mengejar kerusi dan posisi, kebanyakan mereka sudah merasakan ketidakselesaan untuk bersedia telus dalam mencari titik penyelesaian.

Jadi, adakah kita harus jatuh untuk bangun seperti Indonesia? Mungkin kita perlu jadi seperti telur, harus sanggup direbus di air panas baru sudi ditelan. Jika tidak kita tidak akan ke mana malah membusuk menjadi telur tembelang. Buktinya kerajaan tidak sanggup membuka ruang media untuk oposisi kerana mereka tidak sanggup ditegur, tidak yakin dengan kemampuan mereka sehingga hanya mereka yang boleh berkempen di dalam akbar, suara penentangan terhadap mereka dianggap sebagai ancaman negara. Layaklah seperti anak kecil yang mahukan semua untuk dirinya, tak mahu berkongsi dan sering menyalahkan orang lain.

Ini bukan cuma salah kerajaan, ini salah kita sebagai rakyat yang 'diam tanda setuju'. Belajarlah untuk jadi dewasa, beranilah bersuara. Kadang kita terlalu angkuh sehingga tidak memperhatikan kelebihan jiran kita yang seharusnya kita contohi. Belajarlah dari yang lebih tua!

-IMAN NAILAH 2010-