Monday, December 22, 2008

Pahlawan Uhud


Di tengah ‘kesibukan’ sebahagian besar dari pasukan pemanah mengumpulkan harta-harta peninggalan tentera musuh, Khalid bin Al-Walid mengambil kesempatan menggempur kembali tentera Muslim di kaki Jabal Uhud. Pasukan Muslim menjadi kucar-kacir, akibatnya mereka tidak dapat melawan tentera musyrikin secara teratur seperti yang dirancang. Keadaan sangat buruk sehinggakan ada yang tertikam sahabat sendiri. Rasulullah SAW pula terdedah kepada ancaman musuh, terutama ibn Qamiah yang bersumpah tidak akan pulang dari Uhud tanpa membunuh Muhammad.

Tiba-tiba meluru seorang sahabat dengan senjata melindungi Rasulullah SAW. Beliau menyeru sahabat-sahabat yang lain untuk turut melindungi baginda di tengah kekalutan itu. Kedengaran pekikan angkuh dan rakus ibn Qamiah mencari Nabi Muhammad SAW. Tanpa baju besi, sosok ini lantas berdepan dengan ibn Qamiah yang ternyata memiliki perlindungan dua lapis baju besi. Dengan tenaga dan pertahanan yang tidak standing ibn Qamiah, tikaman hinggap di tubuh beliau berkali-kali.

Melihatkan keadaannya yang luka dan tidak bermaya, Rasulullah SAW segera menjerit ke arah anak-anak beliau, “Wahai anak-anak Ummu Umarah, awasi ibumu! Ibumu! Bantu dia segera!” Sepantas kilat anak-anaknya datang menyelamatkannya dari terus dicederakan ibn Qamiah, dan Musa’b ibn Umair segera menerpa ke arah ibn Qamiah untuk menghalangnya. Alangkah terkejutnya ibn Qamiah apabila mengetahui bahawa orang ditentangnya tanpa baju besi itu adalah seorang wanita . Hentakan dan terjahan Musa’b bin Umair bagai buku bertemu ruas, menyebabkan ibn Qamiah lari menyelamatkan diri. Rupanya Ummu Umarah hanyalah salah seorang dari muslimah-muslimah yang turut serta ke medan perang untuk bertindak sebagai jururawat.

Belum pun kecederaan Ummu Umarah lengkap dibalut oleh anak-anaknya, ibn Qamiah datang sekali lagi menerpa ke arah baginda Nabi SAW. Kali ini dia muncul bersama beberapa orang rakannya yang lengkap bersenjata. Ummu Umarah bingkas bangun untuk melindungi Rasulullah SAW bersama-sama anak-anaknya dan para sahabat lain. Sekali lagi, ibn Qamiah terpaksa akur dengan kekuatan pertahan tentera Muslimin melindungi Rasulullah. Sebaik ibn Qamiah dan kumpulannya mundur, Ummu Umarah longlai dan hampir rebah ke bumi. Rasulullah selai lagi berteriak ke arah anak-anak Ummu Umarah supaya menyelamatkan ibu mereka.

Ketika diusung oleh kedua-dua puteranya, Ummu Umarah yang sangat lemah sempat berkata kepada Rasulullah SAW, ” Doakanlah kami dapat menemanimu di syurga wahai Rasulullah.” Maka baginda terus mendoakan Ummu Umarah dan keluarganya, ”Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah Ummu Umarah dan seluruh keluarganya teman-temanku di syurga!” Mendengarkan doa baginda, Ummu Umarah mencapai bahu kedua puteranya sambil berkata, ”Aku tidak peduli apa pun yang akan menimpaku di dunia selepas doa ini.”

Nota kaki : Nama sebenar Ummu Umarah ialah Nusaibah binti Ka’ab bin Amru bin Auf al-Anshariyyah. Beliau pernah terlibat dalam ikatan setia Aqabah yang kedua. Beliau juga memikul tanggungjawab menyampaikan dakwah Islam kepada wanita Yathrib sebagai persediaan menyambut hijrah Rasulullah SAW.


~Diubahsuai dari artikel Potret Mujahidah, Majalah Anis Feb 2008.

IMAN NAILAH 2008
noradrenaline2001@yahoo.com

2 comments:

Anonymous said...

first time denga cite ni.before this i only heard about other part of the uhud's war. a new knowlegde for me. thanks. i've been there. miss that place. INSYAALLAH i will come again.so does everybody i hope.

Anonymous said...

Salam...me too...glad i could share it with all my frens... hope it cud isnpire us to be like her in our own way. InsyaAllah we will someday... :)