Di waktu yang lain, aku simpati melihat ’ummi’ keletihan seusai pulang dari tempat kerja lantas berehat di atas katil manakala ’abah’ masih setia di atas sejadah menghabiskan bacaan ma’thurat.
’Abah’lah yang selalu mengingatkan aku bila masih terpaku di depan komputer walaupun sudah setengah jam azan Maghrib berlalu.
’Ummi’lah yang selalu bertanya khabar keadaanku bila wajahku kelihatan monyok tak bermaya.
Namun ’ummi’ bukanlah insan yang melahirkanku, menyusukanku, atau membesarkanku dan ’abah’ bukanlah manusia yang mengiqamatkanku sesaat setelah aku bernafas di dunia ini atau yang memberikan aku duit poket RM2 sebelum ke sekolah.
Yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna itu adalah ummi dan abah yang ku terlalu ku rindui sekarang. Ummi dan abah yang sedang dalam rahmat Allah di bumi Malaysia tercinta, insyaAllah.
’Ummi’ dan ’abah’ yang aku maksudkan adalah dua insan yang kini merupakan teman sekamarku di Makassar, Indonesia.
Mereka adalah Yong Noor Faatihah Abduul Jabbar dan Kawtsar Ainol Azhar.
AWAL PERKENALAN
”Panggil akak Kak Yong je”, senyumnya tulus.
Wajah berbentuk hati itu tampak manis, tambahan berkulit hitam manis. Masih segar dalam ingatanku situasi di dalam bas universiti pada malam pertama kami menjejak bumi Makassar. Kak Yong bersama Kak Intan rancak bercerita perihal pengalaman mereka sepanjang setahun di sini. Sikap ambil beratnya jelas terserlah.
Kak Kawtsar pula lain ceritanya. Pertama kali melihat, pasti merasa segan kerana tampang garang dan seriusnya. Tertipulah aku dengan impresi pertama apabila dengan mesra dia memperkenalkan diri dan tanpa disedari kami sudahpun berbual rancak.
Keirasan wajah kami juga memudahkan kami saling mendekati satu sama lain. Kebetulan nama adiknya juga seperti namaku; Iman.
Tak lama setelah itu hubungan kami cukup baik, namun siapa sangka ikatan ini bakal menjadi suatu khazanah tak ternilai. Semuanya bermula dengan satu tawaran dari Kak Kawtsar – dia mengajakku tinggal bersamanya dan Kak Yong.
Mereka tinggal di Rusun, apartment yang sama seperti ramai mahasiswa Malaysia di Makassar termasuklah kami pelajar tahun satu. Seperti tahun-tahun sebelumnya apabila memasuki tahun dua, mahasiswa harus keluar dari kamar masing-masing bagi memberi ruang kepada mahasiswa kemasukan berikutnya. Dua tiga bulan sebelum kedatangan junior, bersakanlah kami mencari bilik atau rumah, bergantung tuntutan masing-masing. Aku cukup bertuah apabila teman sekamar Kak Kawtsar dan Kak Yong menyatakan keinginannya berpindah ke kamar sendiri.
Aku mengambil beberapa waktu untuk membuat keputusan.
Tak sedikit teman-teman yang menyuarakan keraguan dengan pertimbanganku.
”Sesuai ke dengan diorang?”
”Nanti takde kawan nak study same...”
Tak kurang juga yang menyokong. Pening juga kepala dibuatnya.
Aku membuat rujukan dengan ummiku yang pada waktu mahasiswinya pernah tinggal bersama senior. Beliau memberikan pros dan cons, membantuku membuat pilihan.
Setelah solat Istikharah, melangkah ke kamar A202 itu memberi ketenangan di hatiku.
EPISOD BARU
Sebelum A202, aku tidak kenal rapat dengan Kak Yong dan belum cukup memahami kakak naqibahku, Kak Kawtsar. Di titik inilah, aku mula tahu siapa di hati Kak Yong, makanan apa yang bisa menimbulkan reaksi hipersensitivitas pada Kak Kawtsar, siapa teman baik mereka, kenapa Kak Yong tak makan tauge, kenapa Kak Kawtsar tak pernah pulang ke kampungnya di Negeri Sembilan, betapa Kak Yong pandai dan rajin memasak, betapa Kak Kawtsar sangat suka membaca dan seterusnya.
Pokoknya, kami menjadi seperti anak-beranak.
Persoalannya, kenapa sampai ’ummi’ dan ’abah’?
Tidak ada pertikaian ummi dan abah ku adalah satu-satunya dan tidak ada yang dapat menggantikan mereka.
Cuma ada keunggulan yang membuatkan aku suka memandang mereka seperti sepasang suami isteri yang anak mereka adalah aku.
Pertama, mereka seperti suami isteri kerana mereka adalah sahabat sejati.
Mereka sentiasa mempunyai topik untuk dibincangkan. Setiap hari.
Mereka sentiasa sedar dengan ketiadaan masing-masing dan mesti saling menghubungi untuk sekurang-kurangnya bertanyakan, ”Awak balik pukul berapa?” dan ”Dah makan belum?”
Mereka mengenali setiap seorang dari ahli keluarga masing-masing sehinggakan nenek saudara, dua-pupu, tiga-pupu, suami kepada makcik sebelah ayah... tanyalah yang mana saja, insyaAllah kenal.
Setiap pagi sebelum salah seorang dari mereka bertolak ke rumah sakit, yang terdahulu pergi akan dihantar hingga ke pinggir pintu.
Inilah yang dinamakan ikatan hati.
Kedua, mereka seperti orang tuaku kerana sifat mereka sendiri.
Kak Kawtsar tegas dalam hal-hal agama dan selalu menjadi tempat rujukanku berkenaan bidang itu.
Mirip sekali sikap abah.
Kak Yong yang lembut selalu menjadi tempat aku meluah rasa dan berbual pengalaman sehari-hariku.
Seperti ummiku sayang.
DEJA VU
Pernah suatu hari, aku diajak teman menghadiri program ESQ. Kepingin ikut serta, aku memohon kepada Kak Kawtsar agar menangguhkan usrah ke waktu petang supaya aku dapat mengikuti program tersebut pada waktu pagi. Memohon pada pagi-pagi hari sebelum subuh tidak membantu kerana terlalu last minute. Ketegasan Kak Kawtsar membuatku tak berani memohon buat kali kedua. Namun hatiku memberontak. Saking terdesaknya aku sehingga terbit di benak untuk meminta Kak Yong memujuk Kak Kawtsar untuk menuruti keinginanku. Hampir-hampir saja permintaan itu aku lafazkan sebelum aku sedar bahawa pertimbanganku tidak munasabah. Maka aku kuburkan saja keinginanku itu. Pagi itu usrah selesai lebih awal dari biasanya dan Alhamdulillah, kami berjaya mengikuti program ESQ tersebut sehingga usai.
Suatu hari tak lama dulu saat aku di Malaysia, teman-teman mengajakku bepergian bersama mereka di ’Time Square’. Aku lantas memohon kepada ayahku namun buat pertama kalinya dia tegas tidak mengizinkan. Aku merasa aneh dan tidak puas hati. Merayu dan menangislah aku, namun abah tetap teguh dengan keputusannya. Malam itu aku sungkam memadam angan-angan. Ummi yang kasihan melihatku memujuk abah dan keesokan paginya, guess what?
Abah memberikan green-lightnya.
Mungkin kisahnya tak layak dipanggil deja vu kerana pengakhiran yang berbeza, namun ada suatu kualiti yang benar-benar meninggalkan kesan di jiwa ini. Suatu perasaan respect yang menebal serta kepercayaan dan pengharapan yang menggunung telah terbina.
GUARDIAN
Kami sedang menikmati juadah makan malam bersama di ruang tamu ketika Kak Kawtsar dan Kak Yong terus rancak berbual.
Aku terus menatap wajah mereka sambil tersenyum.
Mereka adalah guardianku di sini.
Tawa dan tangisku adalah milik mereka dan suka duka mereka ingin aku rangkul dalam dadaku.
Kawtsar Ainol Azhar dan Yong Noor Faatihah Abduul Jabbar...
Ketahuilah, aku menyayangi kamu berdua!
~IMAN NAILAH 2008~
noradrenaline2001@yahoo.com
2 comments:
Hati Tiada resah Gelisah,
Bila bertemu berpisah kerana ALlah.
MashaAllah, very nice sister :)
May Allah tighten you all till jannah
Ameen
Post a Comment