Sunday, May 31, 2009
Jangan Lepas Dulu...
Semakin jauh dari gapaian tanganku yang basah ini. Licin, terlalu mudah dilepaskan seorang sahabat.
Dulu aku fikir kita masih ada tali yang mengikat, aku pula leka mengejar bayang-bayang di malam hari. Siang datang dan aku sedari tali itu tak lagi kupegang. Dia hilang.
Sungguh sayang, beribu kali sayang. Ini semua salahku.
Biar aku menangis dan merintih, susu dititik nila tak akan kembali putih.
Dia sudah dibawa angin lintang. Mampukah aku mengejarnya dan membawanya pulang?
”Yaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” (Al-Kahfi:104)
Na'uzubillah, mudah-mudahan aku dan sahabat-sahabatku tidak tergolong dalam golongan ini. Amiin.
IMAN NAILAH 2009
noradrenaline2001@yahoo.com
Saturday, May 23, 2009
Wednesday, May 13, 2009
Minda, Memori dan Mood
Jangan tipu, semua dari anda mesti ada cinta pertama, tak kisahlah cinta budak-budak tadika ke, cinta monyet ke, cinta sejati ke, asalkan pengalaman pertama kita merasa tertarik dengan seseorang berlainan jantina. Kenapa ya susah sekali melupakan cinta pertama walaupun dah lebih satu dekad ia berlalu? Mungkin rasa cinta atau suka tu dah takde lagi, tapi memori tu segar sentiasa.
Tapi kenapalah susah sangat nak ingat apa yang aku baca malam tadi?
Padahal siap buat nota cantik-cantik, diulang satu muka surat 2-3 kali sampai nak termuntah. Kali ke-4 jadi tersengguk-sengguk. Tak memberi kesan langsung.
Ini adalah kuasa dari minda manusia.
Minda sangat kuat bila mana ada kesan emosi dirangkaikan dengan suatu episod memori. Bila perasaan atau mood tidak baik, apa yang kita cuba masukkan ke dalam otak kita seperti dipaksa-paksa. Sebagai contoh, ada tetamu nak menumpang tidur di rumah kita. Biar wajah tunjuk suka tapi hati menyumpah seranah, pasti tetamu pun rasa tak enak. Pasti tak lama dia nak tinggal di rumah kita. Begitu juga memori.
Saat jatuh cinta pertama kali, kita mengenal suatu bentuk perasaan yang sangat indah buat pertama kali. Memang, yang pertama kali itu adalah yang paling mengesankan. Waktu kita berdiri buat kali pertama, itulah yang paling membahagiakan buat orang tua kita. Waktu kita masuk sekolah buat pertama kali, itulah saat paling menakutkan/mengujakan buat kita. Waktu kita mendapat gaji pertama hasil titik peluh kita sendiri, itulah yang paling berharga biar cuma RM200.
Kesan, itulah yang membuatkan ia berbeza. Ketiadaan kesan membuatkan ia hilang begitu saja. Itulah masalah yang menimpa banyak pelajar dan mahasiswa yang kehilangan nilai dalam akademik. Ini bukan nilai gred atau pointer, ini nilai penghargaan dan kepentingan. Sejauh mana kita benar-benar menghargai ilmu dan memartabatkan kepentingannya? Majoriti belajar untuk memburu kedudukan dan harta. Belajar hanya untuk hasil A, supaya kesannya kita terlihat bijak dan akhirnya nanti mendapat tempat yang baik dalam masyarakat.
Mengaku atau tidak, itulah kenyataannya. Sistem pembelajaran membuat pelajar-pelajar menjadikan ilmu sebagai batu loncatan dalam mendapatkan keistimewaan, dan tidak lagi melihat betapa ilmu itu sendiri sangat istimewa. Buktinya, musim kegilaan belajar tiba bila musim peperiksaan sudah hampir. Jadi belajarnya cuma untuk memenuhi kesesuaian dengan pembuat soal. Belajar soalan-soalan tahun lalu, soalan-soalan ramalan, semuanya tertumpu kepada soalan peperiksaan. Nantinya peperiksaan selesai, mungkin pelajar puas bila soalan ramalannya keluar dalam peperiksaan.
Benar, itu memang cara belajarnya untuk skor dalam peperiksaan besar seperti SPM, PMR, dan peperiksaan-peperiksaan nasional yang lain. Salahnya bila A saja yang dibawa pulang waktu mengambil keputusan peperiksaan, ilmu-ilmunya berciciran tak dapat lagi dikesan.
Happy learning
Kata Dr.Iqbal Basri, seorang residen di bahagian neurologi (saraf), kita akan sangat mudah mengingati sesuatu apabila dipersiapkan mood yang baik sewaktu belajar. Caranya banyak, tapi yang paling baik adalah dengan menyukai ilmu itu dari awalnya. Bila suka, akan ada perasaan yang bermain dengan fakta-fakta yang kita terima. Saya pernah merasakan pengalaman ini sewaktu mempelajari ilmu kardiologi beberapa minggu yang lalu.
Waktu itu saya betul-betul takde mood untuk belajar, saya mengantuk, bosan, tapi kerana sedar ujian akan datang beberapa hari lagi, saya paksakan diri untuk belajar. Memang pertama harus dipaksa sebab cinta itu belum ada kerana belum kenal. Jadi saya cari tempat yang paling sunyi, paling nyaman dan kondusif untuk belajar. Bersendirian, saya mulakan dengan doa sepenuh hati, berharap Allah memudahkan semua yang saya baca untuk masuk dan dapat kekal dalam minda saya, dan saya yakin tidak ada yang bakal saya perolehi tanpa izin dari-Nya. Lalu saya buka halaman pertama, satu persatu tentang proses iskemik hingga infark sel-sel jantung dibaca. Kadang saya baca dengan kuat, seperti bercerita kepada penonton yang ’invisible’. Kemudian saya sendiri yang mengangguk faham. Selama mungkin satu jam itu, saya sempat tersenyum dan bersedih, emosi saya betul-betul larut dengan ’cerita’ dari buku physiology Guyton itu. Selesai satu bab itu, saya merasa suatu perasaan yang bercampur – gembira, sedih, terharu dan macam-macam lagi. Kesan paling besar saya dapati waktu itu adalah merasa sangat kagum dengan ciptaan Allah yang terlalu sistematik dan sempurna, biar sekecil-kecil sel jantung, tidak ada yang melupakannya. Bila saja ia diancam, ada mediator, enzim, hormon, sel-sel lain datang membantu menyelamatkan hidupnya. Alangkah indahnya kalau kita sesama manusia begitu juga.
Syukur, Allah memberikan saya nikmat ilmu. Inilah nikmat ilmu sebenar. Bukan A, bukan pujian dari doktor spesialis, bukan juga gelaran doktor. Kepuasan itu datang dari persepsi kita sendiri, jadi sayang sekali kalau dari awal persepsi kita sudah salah. Ia seperti menipu diri sendiri, dan bila kita sudah menjadi menjawat suatu jawatan, kita bertanya-tanya di mana nikmatnya bila kita sudah berada di tempat yang mana kita impikan dari dulu? Nikmat sebenar adalah dengan mengamalkan ilmu yang sudah kita fahami dan memberikan kesan baik kepada orang lain.
Mood yang baik, tenang, dan keadaan sekitar yang damai betul-betul mempengaruhi minda kita. Lihat saja dari sejarah di mana Archimedes yang mendapat ilham ’Eureka’nya sewaktu sedang beristirehat di dalam tab mandi. Newton juga mendapat teori graviti dari buah epal yang jatuh di atas kepalanya sewaktu dia sedang santai-santai di bawah pohon epal. Rupa-rupanya Einstein pandai bermain biola. Mungkin saja mindanya yang sarat dengan ilmu itu banyak bercambah waktu dia sedang asyik menggesek biolanya!
Dalam Islam sendiri kita melihat bagaimana kekhusyukan dalam solat dapat membuka minda yang kusut. Perasan atau tidak, biasanya kita sering mendapat ilham atau teringat sesuatu saat sedang di dalam solat, kesan dari fokus dan kerehatan otak. Maka Allah mewajibkan kita solat agar minda kita mendapat rehat lima kali sehari dalam kekhusyukan yang mahal, kerana ia membuatkan kita mampu mencapai yang tidak terbayangkan. Subhanallah!
Ilmu sudah ada, kemahuan sudah ada, tapi mood pula susah dicari. Jangan beri alasan. Kenapa agaknya Allah ciptakan hari baru setiap hari? Supaya kita bisa melupakan semalam yang sungkam dan mencipta semangat baru!
Bersemangatlah!
............................................................................................
Terima kasih buat dr. Iqbal Basri yang banyak membuka minda dan dari beliaulah saya dapati banyak info untuk artikel ini.
IMAN NAILAH 2009
noradrenaline2001@yahoo.com