Sunday, December 20, 2009
Menelusuri Terowong Bunyi
Telinga Hidung Tenggorokan atau Ear Nose and Throat merupakan bahagian di mana saya menjalani clinical selama 5 minggu bermula 23 November 2009 yang lalu.
Mempelajari ilmu di bahagian ini, saya semakin memandang ‘kecil’ tiga indera ini, terutama telinga yang sepasang. Dari mata kasar saja ia kelihatan kecil, bila kita menelusuri kompleksiti susunan serta proses yang dijalankan komponen-komponen yang membentuknya, kekecilannya sangat mengagumkan.
Secara anatomi, telinga ibarat suatu terowong panjang yang berjalan satu hala menuju masuk ke dalam gua. Kita bahagikan terowong ini kepada tiga; luar, tengah dan dalam. Di luar, ada sebuah cekera besar (daun telinga = aurikuler) yang akan menangkap bunyi masuk ke dalam terowong. Bayangkan pintu Gua Mulu yang menganga, mengalu-alukan masuknya pengunjung ke laluan gua yang kecil dan dalam. Satu pertiga luar dari terowong dibina dari kartilago, sejenis tulang lembut yang dan elastik, dan dua pertiga lagi dibina dari tulang. Kalau kita korek telinga, ada satu batas di mana kita takkan masukkan lebih dalam sebab terasa sakit. Inilah batas yang memisahkan kartilago dan tulang. Di penghujung terowong luar ni, kita akan temukan sebuah gendang bulat yang kita panggil gegendang telinga. Semua bunyi yang masuk akan bergetar pada gendang dan dihantar masuk ke terowong tengah. Dalam terowong tengah ada beberapa buah tulang yang bersusun rapi, masing-masing diberi nama Malleus, Incus dan Stapes. Bila Malleus mengetuk Incus dan Incus mengetuk Stapes, bunyi menjadi semakin besar 22 kali ganda. Hujung Stapes bersambung dengan sebuah tingkap yang menghubungkan dengan terowong dalam.
Terowong dalam berisi dengan sebuah lingkaran siput berisi cairan yang dinamakan Koklea. Bunyi yang dihantar oleh Stapes akan menggetarkan cairan dalam koklea, yang saling bertolakan seperti domino yang jatuh satu demi satu dengan aturan yang sangat sistematik.
Aliran ini akan berubah menjadi tenaga elektrik dan akhirnya dihantar melalui sebuah serabut saraf. Ia kemudian menyambung dengan saraf ke-VIII yang terus berhubung ke otak. Akhirnya otak akan menangkap bunyi ini dan menginterpretasikan ia sebagai sebuah bunyi yang dikenali, misalnya bunyi kokokan ayam. Oh, sudah subuh rupanya.
Apa yang saya jelaskan hanya penjelasan simple dari proses yang sebenarnya jauh lebih canggih dan kompleks dari kemampuan fikiran manusia. Buktinya, walaupun para spesialis dan pakar mampu menjelaskan mekanisme dan proses yang terjadi sehingga ke tahap biomolekular sekalipun, bila mana sebuah telinga sudah rosak, fungsinya tidak dapat dikembalikan seperti asal oleh mana-mana pun cendekia ini. Kerana semua hanya pinjaman, copyrightnya ada di Pencipta.
-IMAN NAILAH 2009-
Sunday, December 13, 2009
Antara Laxadine Syrup dan Supposutoria
Suatu malam di Hospital Labuang Baji, seorang pelajar perubatan berjalan malas ke wad Baji Kamase 2, melihat ke dalamnya, suasana sepi. Hanya kedengaran suara pesakit mengerang kecil, ada yang sesak nafas tak dapat tidur. Semuanya permandangan biasa bagi si pelajar, apa lagi mata sudah mengantuk, tugas ini ingin cepat-cepat diselesaikan.
Dia datang kepada seorang pesakit dengan suspect penyakit Limfoma Maligna untuk melakukan follow-up tanda-tanda vitalnya. Seperti biasa dia meminta izin kepada pesakit dan isterinya yang setia menjaga di sisi untuk melakukan pemeriksaan. Pasien yang sedang menahan kesakitan mengangguk pasrah kerana sejak kemarin lagi beliau diperiksa setiap satu jam. Setelah selesai memeriksa tekanan darah, nadi, pernafasan dan suhu pesakit, tiba-tiba isteri pesakit bertanya:
Isteri pesakit : Doktor, tadi saya disuruh beli ubat ni… (sambil menunjukkan preskripsi ubat bertulis Laxadine syrup).Pelajar perubatan : Ooo, ni pencahar makcik, untuk lancarkan buang air. Kan pakcik (pesakit) tak buang air besar sejak 2 hari lepas, kena minum ubat ni supaya senang keluar.
Isteri pesakit : Ya doktor. Tapi tadi saya pergi farmasi, harganya Rp25,000(=RM10). Boleh tak saya beli bentuk pil yang masuk dalam punggung?
Pelajar perubatan : Ooh, yang supposutoria? Kan doktor dah preskripsikan ubat minum. Sama je kandungannya.
Isteri pesakit : Kalau sama, saya beli yang supposutoria jela doktor ye…
Pelajar perubatan : Pakcik tak boleh minum ke? Sakit ye kalau menelan?
Isteri pesakit : Eh, boleh je doktor.
Pelajar perubatan: Ha kalau macam tu lebih baik beli yang syrup. Lagi untung, boleh pakai lama. Kalau supposutoria sekali pakai je.
Isteri pesakit : Takpela satu kali pun takpe, daripada takde. Kalau bentuk pil tu Rp9,000(=Rp3) je. Kalau yang syrup Rp25,000, saya tak cukup duit.
Pelajar perubatan : (terdiam)
Isteri pesakit : Takpelah doktor, saya pun ingat nak keluar dah esok. Duit cukup-cukup untuk balik je. Saya kena balik sambung keje untuk cari duit, dah takde orang lain dah.
Pelajar perubatan: Anak makcik?
Isteri pesakit: Anak makcik pun sakit jugak. Sejak kemalangan aritu, dah tak boleh buat keje sangat dah.
Pelajar perubatan: Emm… makcik tunggulah dulu sehari dua lagi ye. Lagipun pakcik kan nak dibiopsi, nak pastikan penyakit die. Lepas tu kena berubat makcik, tak boleh biar je…
Isteri pesakit: Takpe doktor. Pakcik pun dah elok sikit semenjak masuk sini. Saya ingat nak balik keje untuk kumpul duit dulu. Nanti kalau dah ade duit saya datang lagi… kalau umur pakcik panjang…(diam sebentar). InsyaAllah…
Pelajar perubatan:InsyaAllah…
Isteri pesakit: Jadi saya beli yang bentuk pil je doktor ye? Kena tukar preskripsi ke doktor?
Pelajar perubatan: Takpe, esok saya bagitau doktor supaya tukar ye. Lagipun dah malam, farmasi mesti dah tutup. Makcik sabar ye…Pelajar perubatan itu berfikir panjang setelah keluar dari wad tersebut. “Duit makcik tu tak sampai Rp25,000. Astaghfirullah… sudah susah, diberi lagi dugaan sakit yang berat. Sesungguhnya Allah tahu mana hambanya yang kuat bersabar. Dan wallahu’alam, aku rasa aku tak sekuat itu…”.
Malam yang biasa-biasa itu mengetuk hati pintu si bakal doktor yang selama ini selalu menganggap enteng kisah hidup para pesakit. Hatinya yang membeku dek dinginnya angin malam dicairkan oleh wajah hangat si ibu tua.
-IMAN NAILAH 2009-
Catatan: Dialog disesuaikan ke Bahasa Malaysia untuk memudahkan pembaca.