Sunday, March 8, 2009

Mengubur Bahasa Sendiri



Beberapa petikan wawancara Harakah dengan Prof. Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas dari Jabatan Kejuruteraan Bio Perubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya yang mengajar subjek kejuruteraan dalam bahasa Melayu di universiti.

Apa pandangan Prof terhadap dasar PPSMI yang dilaksanakan oleh kerajaan?

PROF DR IR WAN ABU BAKAR: Bahasa Melayu patut diberikan peluang untuk berkembang sebagai ilmu terutama ilmu sains dan teknologi. Seandainya kita tidak menggunakan lagi bahasa Melayu untuk menguasai atau belajar, maka ilmu bahasa Melayu itu akan terbantut perkembangannya. Saya rasa suatu hari nanti bahasa Melayu akan ketinggalan dibandingkan dengan perkembangan ilmu. Ini sekali gus akan membunuh bahasa Melayu itu sendiri. PPSMI ada orang anggap ia penting tetapi budak-budak yang diberi peluang untuk menerima ilmu ini dengan baik sepatutnya dilakukan dalam bahasa yang mereka fahami.



Asasnya Kementerian Pelajaran meneruskan PPSMI ini kerana bahasa Inggeris amat
sesuai untuk bidang sains dan matematik khsusnya dalam era teknologi masa kini. Pendapat Prof?

Semua bahasa sesuai untuk bidang matematik dan sains, malah kalau kita lihat kekuatan bahasa Inggeris sendiri bukan pada sains dan teknologi. Tetapi kekuatannya adalah pada sasteranya. Itulah kekuatan sebenarnya bahasa Inggeris. Sains dan teknologi tidak pentingkan sangat bahasa apa yang digunakan. Sebaik-baiknya dalam bahasa yang kita fahami. Bahasa Melayu juga sesuai seperti bahasa Inggeris. Kedua-duanya sesuai. Sama sahaja tidak ada lebihnya. Dengan syarat kita terus bangunkan bahasa Melayu dengan perkembangan ilmu seperti yang kita lakukan sebelum ini. Kita buat istilah, buat sainstifik dalam bahasa Melayu. Asalkan kita boleh mengajar dalam bahasa Melayu dan tidak akan timbul masalah.

Sejauhmana berkesannya pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Sedangkan kalau kita lihat negara seperti Jepun, Jerman, Perancis yang menggunakan bahasa mereka akhirnya boleh maju juga...

Saya hidup di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Memang anak-anak saya tidak ada masalah untuk bercakap bahasa Inggeris seperti mana mereka bercakap bahasa Melayu. Tetapi kalau kita pergi keluar Lembah Klang dan bandar-bandar besar, budak-budak kita memang akan merasa terasing jika kita ajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Sudahlah ilmu itu bukan ilmu yang senang, asing dan bukan sebahagian daripada budaya mereka.



Ulasan lanjut Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas berkenaan isu ini boleh dibaca pada Harakah Bil 1420 (Edisi Jumaat) bertarikh 6 - 8 Mac. Saya secara peribadi bersetuju dengan jawapan Profesor Wan pada soalan yang terakhir. Kiranya kita tidak mementingkan diri tentu kita dapat membayangkan anak-anak orang asli, anak-anak India di Estet, anak-anak Penan dan anak-anak Tionghua di pedalaman. Selalunya 'pejuang PPSMI' bercakap bagi pihak dirinya sendiri tanpa memikirkan manfaat untuk umat, bangsa dan nusa secara keseluruhan.

Dipetik dari: http://tehranifaisal.blogspot.com/2009/03/ayuh.html

1 comment:

Anonymous said...

kalau aplikasi kan BI dlm Sains dan english...dalam jangka masa panjang...mungkin boleh bantu kot.

Kalau tak, takdela pepatah melayu berbunyi..

Susah dahulu pendapatan, Susah kemudian tiada gunanya.

lagipun.. dlm syara' takde pun larang guna apa2 bahasa ye tak ... hmm...renung2kanla